Hadir majlis PN, Adun Rembia gelar pihak desak keluar Umno ‘sampah’

Hadir majlis PN, Adun Rembia gelar pihak desak keluar Umno ‘sampah’

Muhammad Jailani Khamis berkata beliau hanya akan menjawab kepada Lembaga Disiplin Umno berhubung isu itu.

Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis berkata kehadirannya di majlis itu bukan atas kapasiti sebagai Adun Umno, sebaliknya mewakili NGO, Muafakat Nasional (MN).
PETALING JAYA:
Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis menggambarkan pihak mahu beliau “angkat kaki” dari Umno sebagai “sampah”, susulan kehadirannya ke program Perikatan Nasional (PN) di Johor, baru-baru ini.

Cabaran itu dilontarkan Adun Asahan yang juga ketua Umno Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan.

Jailani berkata, beliau hanya akan menjawab kepada Lembaga Disiplin Umno yang diberikan kuasa penuh dan berkecuali untuk menyiasat, memperhalusi serta mengambil tindakan atas sebarang kes pelanggaran disiplin oleh ahlinya.

“Jadi, saya rasa saya tak perlu berurusan dengan sampah. Saya akan hanya jawab surat (tunjuk sebab) daripada majlis disiplin (Lembaga Disiplin),” katanya menurut Harian Metro.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Jailani sebelum sebarang keputusan diambil terhadapnya

Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata beliau menunggu laporan tentang wakil rakyat parti itu menghadiri majlis berkenaan.

Jailani yang merupakan bekas exco Melaka menegaskan kehadirannya di majlis terbabit bukan atas kapasiti sebagai Adun Umno, sebaliknya mewakili NGO, Muafakat Nasional (MN) diterajui bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.

Dalam pada itu, Jailani berharap pemimpin dan rakyat negara ini terus menyokong MN yang dilihat memberi manfaat kepada agama, bangsa, dan negara.

“Saya masih percaya dan tidak akan menyerah kalah sehingga Melayu, Islam dan Bumiputera boleh bersatu dalam MN.

“Beri peluang untuk Umno, PAS, dan Bersatu bersatu dalam MN kerana kestabilan umat Islam baik untuk negara dan perpecahan hanya merugikan semua orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.