
Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.
“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66, hari ini.
Majlis pelepasan melibatkan lebih 238 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada ahli Superbikers Association Malaysia (S.A.M) itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden S.A.M Abdul Halim Suleiman.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklafikasikan lesen memandu kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250 cc manakala kelas B melibatkan motosikal melebihi 500 cc.
Terdahulu, Halim menyerahkan kertas cadangan bagi menaik taraf lesen memandu kelas B2 kepada B secara automatik bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2.
Sementara itu, dalam ucapannya Zahid yang juga pengerusi eksekutif S.A.M berkata cukai import untuk motosikal berkuasa tinggi masih tinggi, dan beliau yakin belanjawan yang menyentuh perkara berkenaan sedang disediakan.
Program Kembara Merdeka 66 sejauh 1,366 kilometer itu bermula hari ini sehingga 31 Ogos, yang akan menjelajahi Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Kembara Merdeka hasil cetusan idea Zahid itu bertujuan menzahirkan semangat patriotik selain menyemarakan ikatan silaturahim antara pemilik motosikal berkuasa tinggi, penduduk kampung dan penunggang motosikal dalam kalangan golongan muda.