
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata ia susulan hubungan baik antara penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Salahuddin Ayub dengan ahli Umno di kawasan itu, selain jalinan hubungan sedia ada antara kepimpinan Umno di bahagian berkenaan dengan akar umbi PH.
“Untuk Pulai, saya mempunyai keyakinan kuat (mampu menang) kerana Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed ada hubungan baik sekian lama dengan rakan-rakan PH walaupun sembilan bulan lepas kita bertempur.
“…tetapi sekarang, beberapa program sudah disusun oleh beliau untuk menyatukan kedua-dua jentera. Selain itu, Allahyarham sendiri sering menyantuni ahli Umno, jadi di Pulai ini agak mudah,” katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
Katanya pada PRU15 lepas, jumlah undi yang diterima PH dan BN adalah lebih daripada 94,000 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN) hanya menerima kira-kira 20,000 undi.
Beliau turut menyifatkan keserasian dalam gabungan kerajaan perpaduan kini berada tahap tertinggi dalam menghadapi PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram, dan ia dapat dapat dilihat semasa proses penamaan calon berlangsung di kedua-dua kawasan itu pagi tadi.
“Namun kita perlu akui peringkat akar umbi perlukan sedikit waktu, jadi dalam tempoh kempen harap kita dapat dipadukan dengan jentera rakan kerajaan perpaduan,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh undi awal pada 5 Sept, manakala hari pengundian pada 9 Sept.