
Namun, Chow berkata kerajaan negeri menggalakkan premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela dan terbuka sebagai menunjukkan kesetiaan dan kecintaan kepada negara.
“Di Pulau Pinang sememangnya tiada dasar sedemikian (mengenakan denda jika tidak pasang Jalur Gemilang), kita percaya jika mengenakan denda dasar sedemikian, mungkin akan ada kesan sebaliknya.
“Sepatutnya patriotisme atau apa-apa program dianjurkan, adalah atas semangat kecintaan kita kepada negara bukanlah melalui paksaan dan sudah banyak mempertikaikan adakah dengan memasang bendera menunjukkan semangat patriotisme kita?.
“Kalau tak pasang (Jalur Gemilang) pula, tak menunjukkan (semangat patriotisme)?, ini selalu dibicarakan dalam 10 ke 20 tahun ini. Jadi di sini, kita menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang sebagai tanda terbuka untuk menyatupadukan, menunjukkan kesetiaan dan kecintaan kepada negara, tiada paksaan,” katanya kepada pemberita.
Chow ditemui selepas merasmikan dan melepaskan konvoi motosikal sempena Program Jaulah Merdeka Ride To Khairah Ummah 4.0 Tahun 2023 Malaysia Madani peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamek Jelutong.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media, premis perniagaan di bandar raya Ipoh, Perak, yang enggan mematuhi notis arahan pemasangan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan akan dikenakan kompaun RM250.
Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, dilaporkan berkata kompaun itu dikenakan bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen.
Sementara itu, Chow berkata program itu berjaya menghimpunkan peserta tanpa mengira usia, latar belakang dan model motosikal bagi mendekatkan masyarakat kepada masjid terutama dalam kalangan generasi muda.
Katanya, beliau gembira dan bangga dengan sikap keterbukaan, toleransi dan patriotik masyarakat negeri itu yang sentiasa berusaha mengeratkan hubungan perpaduan melalui program seperti Jaulah Merdeka.
“Sebagai negeri berkonsepkan pendekatan Malaysia Madani berteraskan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, saya berharap seluruh inti pati masyarakat Pulau Pinang mampu menjadi penyumbang kepada kemampanan dalam pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Sebanyak 200 motosikal menyertai konvoi sempena program itu dan peserta akan menjelajah enam masjid di lima daerah bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan mengimarahkan masjid.