‘Kami bukan kanak-kanak sekolah’, Ahli Parlimen bantah naik denda RM10,000

‘Kami bukan kanak-kanak sekolah’, Ahli Parlimen bantah naik denda RM10,000

Beberapa Ahli Parlimen tidak bersetuju kadar maksimum denda terhadap wakil rakyat yang melanggar peraturan Parlimen naik 10 kali ganda.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata denda terhadap Ahli Parlimen dipertimbang dinaikkan kepada RM10,000 kepada mereka yang melanggar peraturan Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa Ahli Parlimen tidak bersetuju denda setinggi RM10,000 dikenakan ke atas wakil rakyat yang melanggar peraturan Parlimen, seperti mengeluarkan kenyataan tidak wajar ketika persidangan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dari PKR berkata hukuman sebegitu melanggar hak dan kebebasan Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan, serta penghinaan terhadap institusi Parlimen.

Hassan Abdul Karim.

“Ahli Parlimen bukannya kanak-kanak sekolah atau penjenayah yang perlu dihukum denda macam di mahkamah,” katanya kepada FMT, sambil mengingatkan bahawa mereka dipilih oleh rakyat dan bergelar ‘Yang Berhormat’.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul baru-baru ini mengumumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menaikkan kadar maksimum denda sebanyak 10 kali ganda terhadap Ahli Parlimen yang melanggar peraturan Parlimen, iaitu daripada RM1,000 kepada RM10,000, selain gantung tugas.

Langkah tersebut, yang boleh dilakukan melalui pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa), bagi memastikan setiap Ahli Parlimen menyumbang kepada kemajuan negara.

“Hukuman sedia ada memadai iaitu Ahli Parlimen yang didapati bersalah oleh jawatankuasa dan keistimewaan dihukum gantung sekadar beberapa hari atau minggu. Jika terlalu serius, digantung beberapa bulan,” kata Hassan.

Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP berkata speaker wajar mempertimbangkan hukuman gantung dan keluar dewan yang menurutnya lebih berkesan.

“Kalau kamu gantung dia, dia lebih takut. Semua Ahli Parlimen nak masuk ke dewan untuk bangkitkan isu mereka. Sama ada kerajaan atau pembangkang, semua nak masuk dewan berhujah,” katanya.

Mas Ermieyati Samsudin.

Di pihak pembangkang, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu bimbang hukuman itu akan disalahgunakan.

“Apa yang kita boleh buat adalah memperkasakan Ahli Parlimen dengan ilmu pengetahuan dan bagaimana nak bersikap dalam Parlimen. Itu lebih baik, lebih positif,” katanya.

R Yuneswaran.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran dari PKR merasakan langkah menaikkan kadar maksimum denda itu wajar dan munasabah, memandangkan para speaker dan timbalan pernah beberapa kali memberi peringatan kepada wakil-wakil rakyat.

“Mereka pernah sebut ‘Dewan Rakyat bukan lah tempat beruk’. Di Dewan Rakyat perlu lebih profesional. Rakyat melihat secara langsung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.