
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata KPM dalam kenyataan semalam jelas menyatakan program itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja.
“Dalam kenyataan KPM di media sosial rasmi bertarikh 25 Ogos 2023 menjelaskan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan untuk menerapkan semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan pemahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh KPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Na’im turut menyeru semua pihak supaya memberikan penumpuan membangunkan negara khususnya pembangunan modal insan generasi Madani seperti yang dihasratkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.