Jangan pertikai usaha subur ajaran Islam di sekolah, kata Pemuda Umno

Jangan pertikai usaha subur ajaran Islam di sekolah, kata Pemuda Umno

Dr Akmal Saleh berkata pelajar bukan Islam tidak dipaksa mengikuti Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Dr Akmal Saleh menegaskan sesiapa sahaja mempertikaikan usaha kerajaan menyuburkan ajaran Islam di sekolah perlu berdepan pihaknya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno mengingatkan supaya tiada lagi pihak mempertikaikan usaha menyuburkan ajaran Islam di sekolah menerusi pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata pihaknya menyokong penuh pelaksanaan program itu yang tidak memaksa pelajar bukan Islam untuk mempelajarinya.

“Maka, jangan pertikaikan usaha untuk menyuburkan ilmu agama Islam di dalam sekolah.

“Jika ada yang mempertikaikan, tidak kira kawan mahu pun lawan, berhadapanlah dengan Pemuda Umno dahulu. Noktah,” katanya di Facebook.

Kementerian Pendidikan pada 19 Ogos lepas melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul itu akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menjelaskan, kerajaan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata wujud kekeliruan berhubung isu itu disebabkan penggunaan perkataan ‘diperluaskan’ ketika perkara itu diumumkan.

Menurutnya, penggunaan ayat itu telah mengundang tanda tanya adakah pelaksanaan modul akan melibatkan semua murid dan pelajar tanpa mengira latar belakang.

“Sudah tentulah akan menyebabkan terjemahan atau interpretasi yang berlainan. Saya pernah berkhidmat dengan kementerian. Saya tahu semua perkataan yang digunakan adalah sangat sensitif,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.