
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata penyerahan itu dilakukan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat penilaian terhadap waris yang layak dan sesuai untuk mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan.
“Setelah melalui penilaian, didapati ibu saudara mangsa itu memang layak menjaganya sebab dia merupakan keluarga terdekat. Namun, sepanjang penjagaannya nanti, JKM akan pantau dan memeriksa keadaan kanak-kanak itu kerana dia (mangsa) masih trauma.
“ … kita sudah menjalankan rawatan pemulihan terhadap mangsa supaya (dapat) mengembalikan keyakinannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemimpin Wanita Muda anjuran Institut Pengurusan Wanita di sini hari ini.
Pada 16 Ogos lepas, seorang ibu tunggal dan rakan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak lelakinya berusia tujuh tahun di Pasir Gudang.
Sebelum itu, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.