
Adun Perikatan Nasional (PN) itu berkata beliau akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan injunksi itu di mahkamah bersama penduduk dari Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Batu Arang, M Residence, Kuang dan Saujana Rawang, secepat mungkin sekiranya kerajaan Selangor tidak bertindak dengan aduan mereka.
“Kita sedang mengumpulkan pasukan perundangan untuk menghalang (cadangan pembinaan) sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil sebarang pendekatan atau keputusan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media bersama penduduk yang membantah cadangan projek itu.
Beliau yang dipetik Harian Metro sebagai berkata, pihaknya tidak membantah pembinaan insinerator, sebaliknya lokasi projek itu kerana ia berdekatan dengan populasi penduduk yang tinggi.
“Hampir ratusan ribu penduduk berada sekitar kawasan nak dibina insinerator ini. Ini adalah bantahan serius yang perlu diambil kira oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Rawang Tolak Insinerator (RTI), Abdul Hanan Abd Mokti memaklumkan pihaknya membuat permohonan bagi mengadakan perjumpaan bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkait isu ini.
Kumpulan itu yang mewakili penduduk Batu Arang, M Residence, Kota Puteri dan Bandar Tasik Puteri, pada minggu lalu berkata, mereka mahu menyampaikan kebimbangan penduduk terhadap kesan insinerator pada alam sekitar kepada menteri besar Selangor.
Sebelum ini, Adun Rawang Chua Wei Kiat berkata beliau akan membangkitkan bantahan penduduk terhadap rancangan pembinaan insinerator di kawasan itu.
Adun Pakatan Harapan itu berkata, beliau dan Ahli Parlimen Selayang William Leong membantah projek insinerator itu.
Katanya, mereka sudah menyampaikan pandangan mereka kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd, syarikat yang akan membina kemudahan itu pada Julai.
Mereka memberitahu syarikat itu, tapak dicadangkan tidak sesuai kerana bimbang berlaku pencemaran industri dan peningkatan lori sampah di kawasan tersebut.