
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Razali Idris berkata parti pemerintah sedang mempertimbangkan untuk melantik empat Adun lantikan dalam kalangan profesional, golongan minoriti bukan Islam, OKU, dan NGO dari pelbagai bidang.
“Pembangkang yang kita nak wujudkan ini sudah tentu mereka yang membangkang untuk membetulkan kerajaan, bukan pembangkang yang bermatlamat macam Umno dulu di Terengganu untuk meruntuhkan kerajaan,” kata Razali kepada FMT.
Perkembangan ini selepas PRU15 peringkat DUN Terengganu menyaksikan Perikatan Nasional menawan semua 32 kerusi undangan negeri. Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata undang-undang tubuh kerajaan Terengganu membolehkan kerajaan negeri melantik Adun sekiranya ada kelompok tertentu tidak ada perwakilan.
Razali berkata pelantikan Adun lantikan itu sudah dibincangkan namun masih lagi dalam penelitian. “Keputusan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Ditanya sama ada pemerintah sedia melantik ahli politik parti yang tewas pada PRN lepas, Razali berkata keutamaan kepada golongan profesional yang bebas dari pengaruh politik.
“Pembangkang yang kalah itu tak perlu. Mereka kena muhasabah diri kenapa rakyat tolak mereka. Tak pernah ada dalam sejarah Terengganu rakyat tolak 40-0… 32 DUN, lapan Parlimen,” katanya.
Sebelum ini, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan kerajaan Terengganu melantik 10 Adun dalam kalangan NGO dan golongan minoriti yang akan berfungsi sebagai pembangkang.