Gelandangan ditemui mati, disyaki terjatuh longkang

Gelandangan ditemui mati, disyaki terjatuh longkang

Polis mengklasifikasikan kes itu mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa.

Polis berkata, lelaki itu dipercayai jatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit di tempat kejadian dan lemas akibat pengaliran air.
PETALING JAYA:
Seorang gelandangan ditemui maut dalam longkang di Jalan Sultanah, Batu Pahat.

Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah berkata anggota di IPD Batu Pahat menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 5 petang semalam.

“Pihak polis dengan bantuan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat mengeluarkan mangsa.

“Hasil pemeriksaan fizikal pada tubuh mangsa mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah. Si mati dipercayai jatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit di tempat kejadian dan lemas akibat pengaliran air,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat orang awam, lelaki itu sering kelihatan di kawasan berkenaan.

Katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa.

Beliau meminta pihak mempunyai maklumat berhubung si mati tampil membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh juga disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat melalui 07-4363300,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.