Gantung, batal lesen jika tak patuh peraturan jual benih padi sah

Gantung, batal lesen jika tak patuh peraturan jual benih padi sah

Jualan benih padi sah pada peringkat runcit kepada pesawah hendaklah dijual tidak melebihi harga maksimum, iaitu RM35 per kampit 20kg.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan pengeluar atau pemborong perlu memastikan penjualan benih padi sah tidak melebihi kuota diberikan dan harga dijual kepada peruncit tidak melebihi harga maksimum ditetapkan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kegagalan pengeluar, pemborong dan peruncit mematuhi peraturan penjualan benih padi sah boleh menyebabkan lesen dibatalkan atau digantung, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

KPKM memaklumkan ia melalui kuasa ketua pengarah kawalselia padi dan beras berhak membatalkan serta menggantung setiap lesen yang dikeluarkan, jika didapati gagal mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

KPKM memandang serius isu berbangkit mengenai harga dan bekalan benih padi sah di pasaran serta menegaskan bekalan benih padi sah hanya dikeluarkan pengeluar benih padi sah yang dilantik kerajaan.

“Ia mempunyai mekanisme kawalan ke atas pengeluaran dan pemasaran benih padi sah, sepertimana termaktub dalam Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Bilangan 1/2021: Kawalan Kerajaan Ke Atas Pengeluaran Dan Pemasaran Benih berkuatkuasa 11 Nov 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru, KPKM memaklumkan pengeluar atau pemborong perlu memastikan penjualan benih padi sah tidak melebihi kuota diberikan dan harga dijual kepada peruncit tidak melebihi harga maksimum ditetapkan.

Harga maksimum ditetapkan ialah RM31 per kampit 20kg jualan benih di pintu kilang, manakala harga maksimum RM32 per kampit 20kg, termasuk pengangkutan.

Sementara jualan benih padi sah pada peringkat runcit kepada pesawah hendaklah dijual tidak melebihi harga maksimum, iaitu RM35 per kampit 20kg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.