
Adun Rengit itu berkata, Umno baru sahaja selesai melaksanakan pemilihan parti, dari peringkat akar umbi hingga jawatan kanan, dan tiada keperluan untuk pemilihan diadakan semula.
Menjawab gesaan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Puad berkata, adalah lebih baik parti itu melakukan pascanilai secara terperinci pada semua peringkat selepas kalah teruk pada PRN 12 Ogos lepas.
“EGM tidak perlu semata-mata untuk putuskan pemilihan parti. Pemilihan tetap berlaku. Tahun lalu parti yang putuskan tidak ada pertandingan nombor 1 dan 2.
“Lebih baik buat ‘post-mortem’ terperinci di semua peringkat dan laksanakannya. Lebih mikro dan fokus,” katanya di Facebook.
Tengku Razaleigh sebelum ini berkata, pemilihan perlu diadakan semula untuk menghidupkan semula parti selepas Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya pada PRN enam negeri.
Sebelum itu, ahli MKT Isham Jalil mendesak Umno mengadakan mesyuarat pimpinan parti dan EGM untuk membincangkan hala tuju parti.
Bagaimanapun, sehingga kini MKT Umno belum lagi bersidang selepas hampir dua minggu PRN selesai.
Umno mengadakan pemilihan parti lima bulan lepas, di mana jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan selepas perhimpunan agung parti meluluskan usul mengenai perkara itu pada Januari.