Peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli

Peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli

Peruntukan itu ialah tambahan peruntukan penyelenggaraan bagi laluan tersebut yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta, kata PM.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan bagi menaik taraf laluan Gerik-Jeli di Lebuhraya Timur-Barat. (Gambar Bernama)
GERIK:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf laluan Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Beliau berkata, peruntukan itu ialah tambahan peruntukan penyelenggaraan bagi laluan tersebut yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, terdapat banyak permohonan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negara dan beliau akan mengkajinya dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan pada Oktober.

“Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” kata beliau dalam ucapan ketika melancarkan Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Sebelum ini, Nanta mengumumkan RM30 juta peruntukan awal daripada KKR bagi menaik taraf dan menyelenggara laluan tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia berjumlah RM370 juta tahun ini.

Beliau berkata, RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi.

“RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan,” katanya.

Perdana menteri berkata, kerajaan turut meluluskan RM250 juta bagi peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil Bumiputera.

Sagu hati RM1,000

Sementara itu, Anwar turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) sebagai simbolik menghargai jasa bakti dicurahkan.

Anwar turut menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 orang bekas pekerja dan waris keluarga terlibat dengan pembinaan JRTB (FT004) itu.

Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai tiga orang petugas JKR terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini.

Pada sidang media kemudiannya, Nanta berkata kerja membaiki laluan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan dikendalikan syarikat konsesi.

“Dengan peruntukan tambahan ini kita boleh membelanjakan bagi kerja-kerja lebih berat dan bukan sekadar menampal jalan sahaja kerana jalan ini sudah lama.

“Laluan itu juga boleh dibina semula, mungkin mana-mana kerja yang diperlukan nanti terpulang kepada pihak teknikal apa pembaikan yang perlu dibuat menggunakan peruntukan ini,” katanya.

Ditanya sama ada peruntukan itu turut digunakan bagi tambahan lampu jalan berikutan kawasan yang terlalu gelap, beliau berkata segala keperluan akan diteliti terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.