Pertahan institusi presiden, Shabery beritahu ahli Umno

Pertahan institusi presiden, Shabery beritahu ahli Umno

Pengarah Komunikasi Strategik BN Shabery Cheek berkata 'masalah' melanda Umno tidak akan selesai walaupun Zahid Hamidi berundur.

Shabery Cheek berkata ahli Umno seharusnya mempertahankan institusi presiden kerana ‘masalah’ melanda parti tidak akan selesai walaupun Zahid ditukar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Serangan pihak lawan terhadap institusi presiden Umno tidak akan berhenti walaupun Zahid Hamidi melepaskan jawatan, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Shabery Cheek.

Beliau berkata, ahli Umno seharusnya mempertahankan institusi presiden kerana “masalah” melanda parti tidak akan selesai walaupun Zahid ditukar.

“Siapa pun pemimpin Umno ia akan jadi sasaran serangan. Jangan kata tukar Zahid, yang naik (kemudian) akan terlepas serangan (musuh), siapa pun dilihat sesempurna mana pun akan terlepas serangan.

“Tiada siapa tak serang Tun Abdul Razak, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, masa (Dr) Mahathir (Mohamad) dia diserang gelaran maha Firaun, maha zalim, (didakwa) bertanggungjawab pembunuhan Memali, rasuah, nepotisme, pemberian harta-benda kekayaan kepada anak-anaknya tidak apa yang tidak diserang (kepada Mahathir).

“Waktu itu dia kuat kerana Umno mempertahankannya,” kata Shabery, merujuk kepada bekas presiden Umno, sebelum ini.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan solidariti Wanita Umno untuk Zahid di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Pengerusi Felda itu berkata, Zahid menjadi mangsa ditekan oleh Mahathir, ketika beliau perdana menteri kerana enggan membubarkan Umno.

“Selepas 2018, pada PRU14 orang ini memanggil presiden kita minta Umno diharamkan sekali lagi. Orang bernama Zahid kata saya takkan benarkan Umno diharamkan. Akibatnya kamu terpaksa berhadapan rintangan, cabaran dan kerenah tak terfikir oleh kamu,” katanya.

Shabery berkata, turut menjadi mangsa bekas presiden Umno Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara.

“Sudah tentu Zahid yang tidak ada kuasa politik (waktu itu) lebih parah jadi mangsa dan tiada jaminan siapa selepas Zahid tidak jadi sasaran serangan musuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.