Lihat persamaan bina perpaduan ummah, Sultan Perak beritahu umat Islam

Lihat persamaan bina perpaduan ummah, Sultan Perak beritahu umat Islam

Sultan Nazrin Shah bertitah perpaduan ialah perkara wajib diutamakan dan dijiwai insan yang menghayati roh Islam.

Sultan Nazrin Shah pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam wajib melihat elemen persamaan dalam usaha membina perpaduan ummah.

Baginda bertitah, dengan berpegang kepada semangat mencari persamaan itu ia dapat mengelak umat Islam berpecah-belah.

“Berpeganglah kepada tali Allah agar kita tidak berpecah-belah, dalam semangat keimanan bertuhankan Allah, menerima Nabi Muhammad sebagai rasul junjungan, bersolat berkiblatkan Kaabah yang satu, menjadikan al-Quran kitab rujukan yang sama, dalam semangat umat Islam itu bersaudara,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Baginda bertitah, perpaduan ummah sejagat dan rakyat senegara merupakan sumber kekuatan yang tidak boleh ditiadakan.

“Perpaduan ialah perkara wajib diutamakan dan dijiwai oleh insan yang menghayati roh Islam kerana Islam ialah agama menekankan kepada aspek keamanan dan perdamaian.

“Umat Islam adalah bersaudara atas dasar tautan roh yang seharusnya berperanan memperkukuh rasa kasih sayang, saling hormat-menghormati serta bersikap sopan terhadap orang lain,” titahnya.

Baginda bertitah, umat Islam juga perlu sedar ikatan persaudaraan dan perpaduan akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang pada akhirnya membawa kepada perpecahan dan persengketaan merugikan.

“Fitnah dan menyemaikan rasa benci kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan, dan perpecahan,” titahnya.

Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ini menyaksikan Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan qariah Maghribi, Sara Belmamoun masing-masing diumumkan johan.

Qayyim memperoleh markah 94.96%, manakala Sara meraih 93.05% sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, piala dan sijil.

Sultan Nazrin berkenan mengurniakan hadiah kategori qari, manakala hadiah kategori qariah dikurniakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, majlis itu berlangsung selama enam hari bermula 19 Ogos lalu membabitkan 76 peserta dari 52 negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.