Nahas Elmina: Loke harap dapat semula data kotak perakam Isnin ini

Nahas Elmina: Loke harap dapat semula data kotak perakam Isnin ini

Menteri pengangkutan berkata kotak perakam suara kokpit akan masuk ke makmal pengilang peralatan asal (OEM) Isnin ini.

Loke Siew Fook berharap orang ramai memberi sedikit masa kepada pihak terlibat khususnya Biro Siasatan Kemalangan Udara dalam usaha melengkapkan laporan nahas pesawat itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan komited membawa pulang data kotak perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam,  secepat mungkin, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

“Kita akan masuk ke makmal pengilang peralatan asal (OEM) Isnin depan. Harap kita dapat mendapatkan kembali data tersebut pada hari itu juga.

“Kalau berjaya, segala maklumat akan dibawa secepat mungkin ke Malaysia. Kita tidak akan tinggal di sana (Amerika Syarikat) melebihi sehari pun sebaik data itu diperoleh semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 antara RAC dan IDP Industrial Development Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Loke berharap orang ramai memberi sedikit masa kepada pihak terlibat khususnya Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dalam usaha melengkapkan laporan nahas pesawat itu.

“Beri kita sedikit masa. Apa-apa kita akan membuat pengumuman secepat mungkin sebaik laporan itu disiapkan,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media, Loke memaklumkan ketua BSKU akan bertolak ke Florida, AS 7 malam ini dalam usaha mendapatkan semula data perakam “memory puck” selepas cubaan terakhir di Singapura mengalami kegagalan.

“Pihak terlibat di Florida akan memberi kerjasama untuk cuba mendapatkan balik data itu. Syukur kita mendapat bantuan daripada kerajaan (AS) sedangkan kita memerlukan permit bagi memasuki semua ‘kawasan sensitif’ di sana,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu, pesawat membawa lapan orang termasuk dua kru terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina.

Nahas itu mengorbankan juruterbang pesawat dan pembantunya, enam penumpang termasuk Exco Pahang Johari Harun serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat ketika terhempas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.