
Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid berkata, konsert itu mendapat bantahan penduduk setempat kerana dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.
“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai konsert itu dan selaku Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, saya telah meminta pihak MBSP untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan. Bagaimanapun, pihak penganjur memohon memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.
“Warga setempat (Kepala Batas) telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak Selasa, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis antaranya Baby Shima dan beberapa artis Indonesia.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan pada poster kadar caj tiket selain tiada maklumat lengkap berhubung penganjurnya.
Sementara itu, Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebook turut menyatakan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.
Katanya, setelah mendapat maklumat terperinci, beliau telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada Datuk Bandar MBSP Azhar Arshad.
“Penganjuran konsert hiburan sebegini, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya, ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul,” katanya.