
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yakin momentum kejayaan pada PRN enam negeri baru-baru ini, dapat diulangi pada PRK kali ini, sekali gus memastikan kemenangan calon kerajaan perpaduan.
“Kita yakin dengan (kerjasama) rakan kerajaan perpaduan, kita mampu menang lebih (majoriti) dan menang dengan selesa.
“Momentum (jentera) akan menjadi lebih baik di Johor (PRK) dan suasananya akan lebih hebat selepas penamaan calon, tempoh berkempen hingga hari pengundian nanti,” katanya pada sidang media pengenalan calon PH.
Pada majlis itu, Mohamad turut memperkenalkan calon kerajaan perpaduan bagi Parlimen Pulai iaitu bekas speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat dan calon DUN Simpang Jeram, seorang jurutera Nazri Abdul Rahman.
PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan selepas berlaku kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept.