Adakan EGM bahas keperluan buat pemilihan parti, Umno diberitahu

Adakan EGM bahas keperluan buat pemilihan parti, Umno diberitahu

Penganalisis berkata, dua jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan jika pemilihan parti diadakan semula.

EGM perlu diadakan bagi menentukan sama ada gesaan mengadakan pemilihan semula turut mendapat sokongan majoriti ahli parti itu, kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
PETALING JAYA:
Umno perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membahas desakan pemilihan parti diadakan semula, kata penganalisis politik.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, EGM diperlukan untuk menentukan sama ada gesaan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya pemilihan parti diadakan semula turut mendapat sokongan majoriti ahli parti itu.

“Jika dapat dipastikan bahawa kepimpinan serta ahli parti menyokong pemilihan diadakan, ia perlu dilaksanakan secara adil bagi membolehkan pihak menentang kepimpinan sedia ada turut bertanding.

“Sebab itulah Umno perlu mengadakan EGM bagi menyelesaikan isu ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jika Umno memutuskan pemilihan parti diadakan semula, dua jawatan tertinggi parti juga mesti dipertandingkan.

Katanya, ahli muda yang bercita-cita bertanding melawan orang kuat parti bagi jawatan presiden dan timbalan presiden juga akan membuka era demokrasi baharu untuk Umno.

“Kepimpinan sedia ada perlu cukup terbuka mengakui pertandingan dalam parti menunjukkan kepelbagaian bakat yang wujud dalam Umno.”

Terdahulu, Tengku Razaleigh dalam minggu ini berkata, pemilihan perlu diadakan semula untuk menghidupkan semula parti susulan prestasi buruknya dalam PRN 12 Ogos lalu.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, parti hanya akan mengalami pembaharuan sebenar menerusi proses pemilihan.

Umno baru mengadakan pemilihan parti 2022 lima bulan lalu. Jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan selepas perhimpunan agung parti meluluskan usul tidak bertanding pada Januari lalu.

Bagaimanapun, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menganggap tindakan itu mungkin mengakibatkan lebih banyak perpecahan dalam parti.

“Desakan untuk perubahan dalam kepimpinan tertinggi kebanyakannya datang daripada pihak lawan dalam Umno atau yang tidak sehaluan dengan lima pemimpin teratas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.