
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua lelaki berusia 29 hingga 52 tahun itu ditahan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu aktif di Pantai Timur, disertai individu daripada pelbagai jawatan dalam bidang perkapalan.
“Sindiket itu aktif sejak 2021 yang mengakibatkan syarikat minyak terbabit mengalami kerugian kira-kira RM13.5 juta,” katanya.
Mereka dikesan menjual semula secara haram baki minyak diesel yang diperuntukkan bagi setiap kapal logistik marin kepada pembeli dengan harga jualan sekitar RM1.80 hingga RM1.98 seliter.
Hasil jualan tersebut kemudian dibahagikan antara kru yang bertugas, kata Ramli.
“Pada operasi itu, kita turut merampas dua kenderaan, 16 telefon bimbit, dua unit pengukur kedalaman tangki minyak, tiga cap pelbagai syarikat dan beberapa barangan lain yang berkaitan dengan sindiket untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel,” katanya.
Ramli berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dan sejauh mana aktiviti jenayah itu berleluasa.
Katanya, kesemua lelaki terlibat ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.