
Hakim Amarjeet Singh memutuskannya hari ini selepas peguam Nizam Bashir memaklumkan mahkamah bahawa peguam negara tidak mempunyai bantahan untuk merit kes itu dibicarakan.
Peguam Kanan Persekutuan Farah Shuhada Ramli, yang hadir mewakili peguam negara mengesahkan perkara itu.
Pengurusan kes telah ditetapkan di hadapan timbalan pendaftar pada 6 Sept sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Swatch Malaysia ke mahkamah selepas pegawai Kementerian Dalam Negeri merampas jam tangan itu dari beberapa kedainya antara 13 dan 15 Mei.
Pembuat jam itu dimaklumkan melalui notis rampasan yang dikeluarkan oleh menteri bahawa jam tangan terbabit telah dirampas kerana ia mengandungi unsur mempromosikan komuniti LGBTQ.
Swatch mendakwa rampasan itu tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurutnya, bawah akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.
“Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya dalam permohonan kebenarannya.