
Dalam usaha memastikan kerusi itu kekal dalam penguasaan kerajaan perpaduan, beliau sudah berjumpa dengan Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini dan meminta bantuannya untuk turut sama berkempen, sekali gus menggerakkan 18,000 ahli Umno di kawasan tersebut.
Hari ini, bercakap kepada FMT, Jazlan menjangkakan berlaku protes dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan pada PRK Parlimen Pulai.
Beliau bagaimanapun berkata, kebimbangan terhadap protes daripada segmen pengundi Melayu itu boleh diimbangi dengan sokongan pengundi Cina dan India, yang masing-masing membentuk 41% dan 12% pemilih.
Dalam pada itu, Suhaizan yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata peratusan keluar mengundi yang kurang daripada jumlah tersebut akan menjadi cabaran paling besar yang perlu dihadapi Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Naib Pengerusi Amanah Johor itu berkata parti-parti gabungan PH akan membantu dalam berkempen dan mencari langkah untuk mengajak orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada 9 September nanti.
“Jumlah keluar mengundi akan menjadi antara cabaran besar untuk kita. Saya yakin kita akan berpeluang menang sekiranya peratusan keluar mengundi lebih daripada 70%.
“Saya telah menumpukan kepada kawasan Pulai sejak dahulu lagi dan telah ada keserasian selain membantu masyarakat di situ.
“Respons masyarakat ketika ini saya lihat adalah baik, jadi harap rakyat dapat memilih calon terbaik,” katanya menurut Bernama selepas bertemu komuniti India di Kuil Arulmigu Raja Mariamman, Johor Bahru.
Ditanya mengenai calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Zulkifli Jaafar, Suhaizan berkata beliau tidak mahu memperkecilkan lawannya meskipun tidak mengenali Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai itu secara peribadi.
Katanya, beliau menghormati Zulkifli dan berharap mereka dapat bersaing secara baik.
PRK itu dilaksanakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 5 September dan 9 September sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.