KDN tamat kontrak NIISe ‘tak sah, langgar undang-undang’, kata Iris

KDN tamat kontrak NIISe ‘tak sah, langgar undang-undang’, kata Iris

Iris Corp menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri mempertikaikan penamatan kontrak sistem imigresennya bernilai RM1.16 bilion.

Pada Januari 2021, Kementerian Dalam Negeri memberi kontrak RM1.16 bilion untuk membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional kepada Iris Information Technology Systems Sdn Bhd. (Gambar Iris Corp)
PETALING JAYA:
Iris Corporation Bhd mempertikaikan penamatan kontraknya untuk Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), dengan mendakwa ia “tidak sah dan melanggar undang-undang”.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, katanya, anak syarikat milik penuhnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) menghantar surat itu selepas mendapat nasihat undang-undang.

“IITS mempertikaikan penamatan itu seperti dinyatakan dalam notis penamatan dan akan mengambil tindakan perlu untuk melindungi kepentingannya dan melaksanakan hak undang-undangnya berhubung kontrak NIISe.”

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan IITS diberikan notis penamatan bertarikh 10 Ogos.

Tetapi, tiga bulan sebelum itu, KDN memberikan lanjutan 12 bulan bagi kontrak NIISe, dengan tarikh tamat tempoh dilanjut dari 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2026.

Pada Januari 2021, kontrak bernilai RM1.16 bilion itu diberikan kepada IITS mulai 1 Mac 2021 hingga 31 Ogos 2025.

‘Penyelesaian digital terkini’

Inisiatif NIISe ialah program dilancarkan KDN untuk menaik taraf sistem infrastruktur teknologi maklumat Jabatan Imigresen, membabitkan penyepaduan “penyelesaian digital terkini” untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus memperkukuh langkah keselamatan serta keselamatan sempadan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata kemungkinan kontraktor NIISe digantikan jika gagal melaksanakan projek itu.

Sebelum lanjutan kontrak, Saifuddin berkata projek itu tidak mencapai kemajuan mencukupi setakat Mac lalu.

Iris kini dalam proses melupuskan 80% kepentingannya dalam IITS kepada Tass Tech Technologies Sdn Bhd pada harga RM70 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.