
Naib Presiden, T Mohan, berkata MIC tidak menghalang Umno berbuat demikian, namun konsep utama Barisan Nasional (BN) ialah kebersamaan antara parti komponen yang dipegang selama puluhan tahun.
“Terpulang kepada fikiran Umno jika mahu bertanding atas tiket sendiri, sekiranya mereka mendapat kelebihan majoriti kaum. Jika kawasan itu Melayu, mungkin itu boleh dilakukan.
“Tetapi mengikut konsep kebersamaan BN yang dipegang sejak puluhan tahun, walau siapa pun calon dipilih tanpa mengira Melayu atau India, kita sentiasa bersama MCA, parti Sabah dan Sarawak.
“Apa yang mustahak kita perlu tanya adalah (sama ada) parti itu masih kekal relevan dan pemimpin parti itu sendiri masih relevan,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, Azalina dilapor melontarkan persoalan sama ada sudah tiba masa Umno mempertimbang untuk bertanding atas tiket sendiri, berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata demikian susulan Umno dikatakan berdepan penolakan orang Melayu pada PRN 12 Ogos lalu, selain krisis dalaman yang dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak PRU15 tahun lalu.
Mohan mengakui, MIC sendiri merasakan sukar untuk menang jika bertanding atas tiket sendiri tanpa kehadiran parti komponen BN.
“Pendirian kita jika mahu bertanding bukan berdasarkan perkauman atau menggunakan logo sendiri. Kita tahu kita sukar menang walaupun mempunyai majoriti kaum,” katanya.
Beliau berkata, MIC menganggap persoalan Azalina itu sebagai kenyataan peribadi selagi tidak dikeluarkan presiden Umno sendiri.
Beliau turut mengesahkan tiada perbincangan antara pemimpin parti komponen berhubung perkara itu setakat ini.