
Katanya, peranan timbalan ketua menteri II atau TKM II akan “disegarkan semula” dan beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai exco dua penggal yang memegang portfolio seperti perumahan dan kerajaan tempatan.
Beliau menolak tanggapan hanya orang Tamil boleh memegang jawatan TKM II.
Katanya, walaupun konsep peranan itu dibuat mendiang bapanya yang juga penyokong kuat DAP, Karpal Singh demi memperjuangkan kepentingan masyarakat India, ia “tidak pernah dikhaskan untuk orang Tamil saja”.
Hakikatnya, beliau orang India Malaysia yang berketurunan Punjabi, tetapi mengambil berat terhadap hal ehwal semua rakyat tanpa mengira latar belakang etnik mereka.
Beliau menyifatkan gesaan supaya jawatan itu diberikan kepada orang Tamil sebagai “remeh dan rasis”, dengan pihak membuat gesaan berkenaan perlu “berhenti membangkitkan perkara bukan isu”.

“Saya di sini untuk berkhidmat kepada semua. Malah, di bawah Ordinan Lembaga Wakaf Hindu 1906, jika anda lihat maksud Hindu, ia termasuk Sikh.
“India mempunyai seorang perdana menteri Sikh. Seperti Manmohan Singh, saya menjaga beribu-ribu kumpulan Hindu dan saya akan terus menjaga mereka,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
P Ramasamy yang menyandang jawatan itu sebelum ini dilaporkan berkata peranan utama TKM II ialah menjaga kepentingan orang Tamil susulan perhimpunan Hindraf pada 2008.
Jagdeep berkata, pelantikannya ke jawatan itu disebabkan pengalaman luasnya sebagai exco dua penggal yang memegang portfolio penting seperti perumahan dan kerajaan tempatan.
Memegang portfolio sumber manusia, sains dan teknologi sekarang, beliau berkata, agenda utamanya ialah membawa Pulau Pinang ke arah tenaga boleh diperbaharui, memanfaatkan tenaga solar dan angin, selain menyediakan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
Katanya, Pulau Pinang kekal sebagai destinasi ideal untuk pengeluar EV seperti Tesla dan BYD untuk memasang kenderaan mereka kerana ia mempunyai banyak bakat dalam teknologi.