‘Balah buat apa’, Kedah ikut pusat tema Hari Kebangsaan, kata Sanusi

‘Balah buat apa’, Kedah ikut pusat tema Hari Kebangsaan, kata Sanusi

Menteri besar Kedah berkata tema dan logo sama akan digunakan kerana tidak mengubah haluan politik masing-masing.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata persetujuan kerajaan negeri bagi bangkit semangat patriotisme.
PETALING JAYA:
Sanusi Nor tidak mahu berbalah dan menyatakan kerajaan Kedah akan menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan seperti diperkenalkan kerajaan persekutuan.

Menteri besar Kedah itu berkata, apa sahaja tema digunakan tidak mencerminkan pendirian politik, sebaliknya bagi membangkitkan semangat patriotisme.

Katanya, penggunaan tema mahupun logo yang sama antara dua negeri berbeza fahaman politik bukan suatu isu, kerana ia tidak mengubah haluan politik masing-masing.

“Buat apa menimbulkan perbalahan mengenai isu tersebut. Kita setuju guna tema dan logo sama, bukan bermakna kita bersetuju dengan konsep ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan kerajaan perpaduan,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap semua negeri menggunakan tema serta logo sambutan sama seperti diperkenalkan kerajaan persekutuan.

Fahmi mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, selain mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, dalam sidang media mencadangkan kerajaan Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Perlis menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza di peringkat negeri.

Selain Kedah, turut bersetuju menggunakan logo dan tema sama adalah Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan Perlis hanya menerima pakai tema, tidak penggunaan logo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.