
1MDB menyaman kedua-duanya atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi.
Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak permohonan Arul Kanda dan Irwan untuk membatalkan saman itu dengan berkata, kes itu bukanlah sesuatu yang boleh diputuskan secara ringkas.
“Mahkamah perlu dengar keterangan daripada saksi,” katanya.
Raja Mohzanuddin turut memberitahu Arul Kanda dan Irwan bahawa ini bukanlah pengakhiran bagi pembelaan mereka.
“Mahkamah akan memberikan perhatian sepenuhnya pada defendan dan pembelaan yang akan mereka bangkitkan. Ini juga terpakai bagi plaintif (1MDB),” katanya.
Hakim mengarahkan Arul Kanda dan Irwan membayar kos RM10,000 kepada 1MDB, dan menetapkan 14 Sept untuk pengurusan kes selanjutnya.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap kedua-dua individu tersebut atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi, yang dikatakan menyebabkan 1MDB mengalami kerugian USD1.83 bilion (RM8.5 bilion) berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar menjadi pelaburan dalam Brazen Sky Limited.
1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Irwan menyeleweng USD3.5 bilion (RM16.3 bilion) dana 1MDB yang dibayar kepada Aabar Investments, dan USD1.265 bilion (RM5.9 bilion) dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Syarikat itu mendakwa Irwan juga bersubahat dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan perjanjian lanjutan kerja dan membayar sebanyak RM2,905,200 kepada Arul Kanda menurut perjanjian itu tanpa mengambil kira kepentingan syarikat, menyebabkan ia mengalami kerugian.
Syarikat itu menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi sebanyak USD6.59 bilion (RM30.6 bilion), dan tambahan RM2.9 juta bagi Irwan, berhubung perjanjian lanjutan kerja tersebut.