7 ditahan bantu siasatan penyokong Penang FC, Kedah gaduh

7 ditahan bantu siasatan penyokong Penang FC, Kedah gaduh

Kejadian berlaku malam tadi itu disyaki berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan selepas menyaksikan perlawanan Liga Super.

Tular di media sosial rakaman kejadian yang dikatakan berlaku pada kira-kira 11.20 malam tadi di sebuah stesen minyak di George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan insiden pergaduhan membabitkan penyokong kelab bola sepak Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam tadi.

Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.20 malam di sebuah stesen minyak di sini, disyaki berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya selepas menyaksikan perlawanan Liga Super.

“Selepas menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota IPD Timur Laut tiba di lokasi bagi mengawal keadaan.

“Polis merampas dua batu, dua kon jalan dan sebatang kayu dipercayai digunakan oleh kesemua suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejadian turut menyebabkan cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan Kedah pecah akibat ditumbuk seorang daripada suspek manakala dua daripada yang ditahan mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

Menurut Soffian, kesemua lelaki berusia 18 hingga 38 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, Kedah serta Sarawak itu didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemuanya direman hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.