Zahid buat amal kebajikan sejak 1995, mahkamah diberitahu

Zahid buat amal kebajikan sejak 1995, mahkamah diberitahu

Saksi berkata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membina masjid dan bantu baik pulih sekolah agama.

Zahid Hamidi dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, serta rasuah berkait pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Zahid Hamidi membuat sumbangan dan amal kebajikan kepada golongan miskin dan memerlukan sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk pada 1995, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi.

Seorang ketua kampung di Sungai Keli, Kamarulzaman Sampol, 54, berkata dia tahu tentang sumbangan Zahid kerana dilahirkan dan dibesarkan di kawasan Parlimen itu.

“Saya secara peribadi mengenali Zahid sejak beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1995,” kata saksi pembelaan ke-11 pada perbicaraan rasuah Zahid.

Dalam penyataan saksinya, Kamarulzaman memberitahu Zahid memberikan sumbangan peribadi untuk membaik pulih sebuah sekolah agama di Sungai Keli.

“Saya belajar di sekolah itu yang sangat uzur sebelum Zahid memberi sumbangan untuk membaiki bangunan itu yang siap pada 2007,” katanya.

Kamarulzaman berkata, Zahid juga memberi sumbangan untuk membina masjid di Kampung Kota dan Kampung Sungai Keli.

Katanya, antara sumbangan lain termasuk RM80,000 bagi menukar atap bumbung masjid yang bocor dan membina pagar Masjid Sungai Keli yang siap sepenuhnya pada 2008.

Tambahnya, Zahid juga menyumbang RM20,000 untuk membina dewan makan di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin.

Menurutnya, presiden Umno itu juga menyumbang seekor lembu untuk dikorbankan pada setiap Hari Raya Haji, manakala penduduk miskin dan memerlukan pula menerima bantuan makanan setiap Ramadan.

Terdahulu, seorang pengurus projek Ramli Ghani memberitahu mahkamah Zahid bertanggungjawab membina Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk yang bernilai RM43.7 juta.

Kata saksi itu, syarikat pemaju projek itu adalah Yayasan Al-Falah manakala kontraktor adalah syarikat Noble Energy Construction dan Yayasan Restu.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, Ramli yang bekerja dengan Noble Energy Construction, berkata wang bagi membina masjid itu daripada Yayasan Akalbudi.

Katanya, dokumen kontrak ditandatangani antara Yayasan Al-Falah, Noble Energy Construction dan Yayasan Restu yang disediakan oleh firma guaman Lewis & Co.

Ramli berkata, dia tidak tahu mengapa Yayasan Akalbudi tidak dijadikan antara pihak dalam dokumen kontrak itu.

Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah berkait pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Dua belas daripada tuduhan itu membabitkan pecah amanah dan lapan lagi berkaitan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.