
“Saya ucap terima kasih kerana mereka sedia tak bertanding,” kata Pengerusi Syed Ibrahim Syed Noh kepada pemberita di Bangsar South, ketika ditanya berhubung langkah parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.
Semalam, Muda mengumumkan ia tidak akan meletakkan calon di dua kerusi berkenaan bagi menghormati bekas penyandang, Salahuddin Ayub yang disifatkan sebagai telah menjalankan amanah dengan baik.
Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah dan menteri perdagangan dan kos sara hidup meninggal dunia pada 23 Julai lalu. Sebelum itu, beliau menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas disahkan mengalami pendarahan otak.
Hari mengundi bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ditetapkan pada 9 Sept. Salahuddin terpilih untuk mewakili rakyat kedua-dua kawasan itu pada PRU14 dan PRU15.
Mengulas lanjut keputusan Muda, Syed Ibrahim berpandangan parti itu tidak ada banyak pilihan selepas semua calonnya hilang deposit pada PRN enam negeri baru-baru ini.
“Kalau masuk bertanding memang tak bijak lah,” katanya.