
Sidang tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail, berkata sabitan ke atas Zulkifli Hussin oleh Mahkamah Sesyen tidak selamat memandangkan terdapat empat individu, termasuk kembar perayu, yang didakwa merogol mangsa, ketika itu berusia 14 tahun.
Hanya DNA tiga yang lain ditemui, namun bukan perayu, kata Hadhariah.
“Terdapat keraguan munasabah dibangkitkan berkait identiti pelaku kerana perayu mempunyai kembar, yang mana berada di lokasi jenayah,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy.
Mereka kemudian mengetepikan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan dikenakan terhadap Zulkifli, pada 1 Mac tahun lalu.
Lelaki itu berada dalam penjara sejak 28 Jun 2019 tanpa dibenarkan ikat jamin.
Zulkifli, yang juga bapa kepada dua anak didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut, Terengganu, kira-kira 9.50 malam, pada 10 Mei 2019.
Dua lagi lelaki tidak dapat dituduh kerana polis gagal menjejaki mereka.
Terdahulu, peguam bela Harpal Singh mengemukakan keterangan bahawa anak guamnya tidak berada di lokasi jenayah, namun ditolak hakim perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha.