
Hapizal Saad, 42, membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan melakukan khianat serta penjara 12 bulan bagi pertuduhan memiliki bahan letupan tanpa kebenaran, bagaimanapun mahkamah membenarkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Ogos.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan mercun buatan sendiri dan menyebabkan kerosakan khemah milik Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Utara yang menyebabkan kerugian RM50 di hadapan sekolah tersebut pada 4.50 pagi, 16 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan iaitu 100 biji mercun bola besar dan sekotak mercun Thunder Clap tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di sebuah rumah di Padang Besar pada 5.30 petang, 16 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Majistret Ana Rozana turut menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya iaitu amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar pada 5.15 petang, 30 Jun lalu.
Pendakwaan semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Hasnor Arysha Hamdan.