
Ketika ini, seramai 3,000 banduan bakal mengikuti latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dengan kerjasama Jabatan Penjara, dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata RM1.57 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan latihan kemahiran selama lapan bulan di semua 17 institusi penjara seluruh negara bagi tahun ini.
“Seramai 280 banduan terpilih sebagai perantis pertama bermula 1 Jun lalu. Melalui program latihan kemahiran secara teori dan amali ini, perantis didedahkan dengan skop berkaitan pelaksanaan cara kerja, pengendalian peralatan, dan pematuhan keselamatan.
“SKM yang kita reka bawah program ini mempunyai beberapa tahap, iaitu tahap dua sebagai pekerja am dan boleh disambung kepada tahap tiga atau empat menjadi penyelia dan peringkat pengurusan yang mana perantis juga diberi elaun RM500 sebulan,” katanya pada sidang media di Penjara Sungai Udang, Melaka, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, program itu diharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kira-kira 6,000 pekerja asing daripada keseluruhan 27,000 pekerja dalam sektor pekerjaan 3D.
“Saya dimaklumkan ketiga-tiga syarikat konsesi bawah seliaan SWCorp iaitu iaitu E-Idaman Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd, dan SWM Environment Sdn Bhd bersedia menawarkan kerja fasa pertama membabitkan 137 penghuni penjara yang akan dibebaskan secara berperingkat mulai Jan 2024,” katanya.
Akmal berkata, pihaknya juga merancang memperluas inisiatif itu kepada penghuni di Sekolah Henry Gurney dan pusat pemulihan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).