
G25 dalam kenyataan mengesyorkan sebahagian pendidikan agama dijadikan kurikulum selepas sekolah agar lebih banyak masa diperuntukkan untuk sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik atau STEM (science, technology, engineering, and mathematics).
“Adalah amat penting sekolah agama mengikut sistem pendidikan kebangsaan bagi memastikan pelajar yang hanya bersekolah di sekolah agama negeri didedahkan kepada kurikulum pendidikan kebangsaan yang seimbang,” kata kumpulan itu.
G25 berkata, purata masa diperuntukkan untuk pendidikan agama bagi murid sekolah rendah ialah tujuh jam setengah seminggu, berbanding lima jam seminggu bagi matematik dan enam jam seminggu bagi sains.
Kumpulan itu turut menarik perhatian kepada kualiti pendidikan di sekolah serata negara dan menekankan betapa pentingnya guru diberi sokongan agar mereka boleh mencipta persekitaran pembelajaran yang positif bagi pelajar.
G25 menambah sekolah agama bawah kerajaan negeri harus tertakluk kepada Akta Pendidikan, yang menetapkan sekolah harus mengikut kurikulum pendidikan kebangsaan dan dipantau oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, kumpulan itu memuji Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana memperluaskan Kelab Rukun Negara ke sekolah serata negara, termasuk sekolah swasta.
“Langkah menteri pendidikan memberi perhatian kepada penerapan Rukun Negara dalam budaya sekolah kena pada masanya agar generasi muda dapat membesar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berfikiran luas,” katanya.
G25 mengesyorkan Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan agama bawah majlis agama Islam negeri.
Kumpulan itu juga mencadangkan Perlembagaan di peringkat sekolah rendah, di samping Rukun Negara kerana ia saling melengkapi.
“Langkah ini supaya murid didedahkan kepada nilai-nilai kemanusiaan sejak awal usia, seperti kesamarataan di sisi undang-undang, kebebasan diri, kebebasan berhimpun, dan sebagainya,” kata G25.