Ahli Parlimen sokong tempoh bertenang kempen sehari, bukan 3 hari

Ahli Parlimen sokong tempoh bertenang kempen sehari, bukan 3 hari

Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan berkata tempoh bertenang tiga hari terlalu lama, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal mahu tempoh berkempen lebih lama.

Sany Hamzan (kiri) berkata, tempoh bertenang sehari sudah memadai, manakala Wan Ahmad Fayhsal berkata tempoh berkempen perlu dilanjutkan.
PETALING JAYA:
Cadangan melanjutkan tempoh bertenang kempen kepada tiga hari sebelum hari pengundian dikritik seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang berkata tempoh berkempen ketika ini terlalu singkat.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tempoh berkempen 14 hari ketika ini tidak mencukupi dan mahu ia dilanjutkan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan daripada Pakatan Harapan menyokong cadangan tempoh bertenang lebih lama untuk memberi masa kepada pengundi memikirkan pilihan mereka.

“Tetapi, tiga hari terlalu lama. Pendek kepada sehari sebelum mengundi adalah baik,” katanya kepada FMT.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu mengulas cadangan bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar untuk melanjutkan tempoh bertenang kempen kepada tiga hari bagi mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan aman menjelang pilihan raya.

Di bawah undang-undang semasa, kempen politik perlu ditamatkan pada tengah malam menjelang hari pengundian.

Wan Ahmad dilaporkan berkata, kempen politik nampaknya berterusan sepanjang tahun, tetapi Wan Fayhsal tidak bersetuju dengannya.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, berkempen adalah khusus untuk tempoh pilihan raya tertentu itu. “Sebagai contoh, anda tidak mempromosikan manifesto sepanjang tahun.”

Penganalisis politik, Russli Kamaruddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengalu-alukan cadangan Wan Ahmad dengan berkata, kempen boleh menjadi tidak produktif kepada perpaduan.

“Pelbagai perbuatan tidak beretika dan kenyataan berunsur fitnah dibuat (dalam jelajah kempen), yang boleh membawa kepada ketidakharmonian,” katanya sambil mencadangkan tempoh bertenang dilanjutkan sehari selepas hari pengundian bagi mengelakkan sambutan keterlaluan oleh parti politik dan penyokong mereka.

Sebelum ini, Indonesia melarang parti politik mengadakan perhimpunan atau membawa mesej berkaitan pengundian selepas pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.