2 parah lantai bot pecah dihempas ombak

2 parah lantai bot pecah dihempas ombak

Lelaki berusia 29 tahun cedera di pinggang manakala wanita berusia 34 tahun cedera di kaki.

Mangsa diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan polis marin sebelum dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya. (Gambar Facebook Maritim Malaysia)
MERSING:
Seorang lelaki dan seorang wanita parah selepas lantai bot yang dinaiki mereka pecah, dipercayai akibat dipukul ombak kuat di perairan Pulau Tinggi, pagi tadi.

Ketua Polis Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani, berkata lelaki berusia 29 tahun cedera di bahagian pinggang, manakala wanita berusia 34 tahun, cedera di kaki.

“Sementara itu, lapan mangsa lain hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira 9 pagi itu, sebanyak 10 orang iaitu empat lelaki termasuk dua kru dan enam wanita berada dalam bot berkenaan.

“Ketika kejadian, semua mereka dalam perjalanan ke Pulau Aur dekat sini, sebelum lantai bot pecah selepas dihempas ombak kuat..sehingga mengakibatkan mereka terpelanting dan segelintir mengalami kecederaan,” katanya.

Bagaimanapun, semua mereka diselamatkan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin sebelum dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya.

Razak berkata kes disiasat oleh Jabatan Laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.