
Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya Johari Harun pada 17 Ogos lepas.
Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Pahang Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai.
“Mesyuarat khas tersebut di mana tarikh-tarikh penting PRK Pelangai seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ikmalrudin berkata mesyuarat khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dan sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut.
“Selaras dengan Bab IV Perkara 26 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR,” katanya.
Allahyarham Johari antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Jenazah Johari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Gombak, Selangor, semalam.