
Pengurus projek pembinaan Masjid Tuminah Hamidi Ramli Ngah, 56, berkata ekoran itu perjalanan pembinaan masjid berkenaan terganggu menyebabkan tempoh penyiapan masjid itu lewat daripada pelan asal tarikh siap.
“Sekitar pertengahan 2018, kerja pembinaan tersebut terhenti seketika kerana pada masa itu Yayasan Akalbudi disiasat oleh SPRM.
“Sekitar empat ke lima bulan selepas itu, apabila mendapat kelulusan daripada Yayasan Al-Falah (milik keluarga Zahid Hamidi), barulah kerja pembinaan tersebut diteruskan semula iaitu pada awal 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes timbalan perdana menteri itu atas 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Ramli yang bekerja di bawah syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd selaku kontraktor pembinaan masjid itu berkata beliau mengetahui bahawa pembinaan masjid berkenaan adalah sumbangan daripada Yayasan Akalbudi melalui Yayasan Al-Falah yang dilantik sebagai pemaju.
Katanya, pembinaan masjid itu bermula 12 Jun 2017 dengan upacara majlis pecah tanah tapak pembinaan dirasmikan oleh Zahid dan pada Julai 2017 kerja-kerja tapak projek pembinaan masjid telah dilakukan antaranya penanaman cerucuk dan pembinaan tapak.
Saksi pembelaan kesembilan itu berkata Zahid kerap datang dan melakukan lawatan kerja pembinaan masjid berkenaan.
“Kebiasannya beliau (Zahid) akan datang dalam sebulan sekali atau dua bulan sekali. Apabila datang, beliau akan memantau perkembangan pembinaan masjid ini dan untuk memastikan kerja-kerja pembinaan tersebut berjalan dengan lancar.
“Apabila beliau datang melawat dan pihak kami ingin mengadakan mesyuarat pengurusan projek, beliau sendiri yang akan mempengerusikan mesyuarat tersebut,” katanya.
Menjawab soalan peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Zahid, Ramli berkata masjid yang menelan kos RM43.7 juta siap pada April lalu dan digunakan pada Ramadan lepas walaupun ia belum dirasmikan.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Aula di Hutan Melintang Bagan Datuk, Mohd Sani Chik berkata pembinaan Masjid Al Aula juga adalah 100% hasil sumbangan penuh daripada Zahid.
“Saya masih ingat pada 1998, saya bersama-sama arwah Yusuf iaitu pengerusi kepada jawatankuasa pembinaan masjid tersebut ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Zahid. Ketika itu Zahid adalah Pengerusi kepada Bank Simpanan Nasional dan perjumpaan tersebut dibuat di pejabat beliau di bank tersebut.
“Hasil daripada pertemuan itu, Zahid bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM400,000 dengan memberi cek peribadi atas nama beliau kepada kami. Cek tersebut diisukan atas nama Masjid Al Aula,” kata saksi pembelaan ke-10 itu.
Zahid dalam keterangan pada April tahun lepas berkata antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk, termasuk Ihya Ramadan untuk fakir, asnaf, anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 dan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.