Melaka mohon Putrajaya tukar hutang jadi geran

Melaka mohon Putrajaya tukar hutang jadi geran

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, berkata baki hutang pokok dengan kerajaan persekutuan kini berjumlah RM633.31 juta.

Ab Rauf Yusoh berkata kebanyakan pinjaman dibuat bagi tujuan keperluan asas, kebajikan dan sosial rakyat.
MELAKA:
Kerajaan Melaka memohon kerajaan persekutuan menimbang semula permohonannya menukar status pinjaman berjumlah RM633.31 juta kepada bentuk geran, memandangkan kebanyakan pinjaman itu dibuat bagi tujuan keperluan asas, kebajikan dan sosial rakyat.

Ketua Menterinya Ab Rauf Yusoh berkata pinjaman dengan kerajaan persekutuan itu dibuat sebagai sumber peruntukan oleh kerajaan negeri bagi tujuan-tujuan berkenaan, yang dimeterai sejak 1970an hingga 2015.

Beliau berkata sehingga kini ada 50 pinjaman yang masih belum selesai dengan baki hutang pokok berjumlah RM633.31 juta, dipinjam bagi tujuan menyediakan kemudahan asas seperti sumber air, perumahan awam kos rendah, pelaksanaan projek pembangunan seperti projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS), kawasan perindustrian dan kompleks sukan.

“Justeru, kerajaan negeri sangat berharap agar Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan permohonan ini sewajarnya dengan mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan Melaka,” katanya ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Sementara itu, Rauf berkata kerajaan negeri juga memerlukan insentif daripada kerajaan persekutuan untuk pembinaan infrastruktur dan utiliti di kawasan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), membabitkan pembinaan lebuh raya utama inter-wilayah yang dapat dilibatkan ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata pengwujudan M-WEZ dilihat berpotensi besar untuk memperkukuh ekonomi negara serta menjadikan kawasan persisiran pantai Melaka sebagai pelengkap kepada wilayah-wilayah ekonomi sedia ada seperti Iskandar Johor dan Malaysian Vision Valley (MVV) Negeri Sembilan.

“Kerajaan negeri juga berharap agar kerajaan persekutuan dapat menyalurkan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) sebagai agenda utama promosi pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memerlukan peruntukan RM12 juta bagi melaksanakan kajian trafik serta mengindahkan jalan-jalan utama negeri Melaka sempena TMM2024,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.