
Naib presiden PKR itu mengangkat sumpah jawatan menteri besar Selangor ke-17 di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, kira-kira 11.30 pagi.
Pelantikannya menamatkan spekulasi jawatan menteri besar selepas PRU15 peringkat Selangor yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pada12 Ogos lalu.
Amirudin berjaya mempertahankan DUN Sungai Tua bagi penggal keempat selepas menewaskan dua pencabarnya Hanif Jamaluddin daripada Perikatan Nasional dan Suman Gopal (bebas) dengan majoriti 5,185 undi.
Istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji exco negeri pula dijadual berlangsung 2 petang ini di istana sama.
Gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan di Selangor selepas menang 34 daripada 56 DUN, namun gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga dinikmati selama dua penggal bermula 2013.
FMT sebelum ini melaporkan Adun Sungai Air Tawar Rizam Ismail daripada BN dijangka mengangkat sumpah sebagai exco Selangor, menjadikan beliau wakil tunggal daripada gabungan itu.
BN kembali menjadi sebahagian kerajaan Selangor selepas 15 tahun sebagai pembangkang.
Memetik sumber, FMT melaporkan selain Rizam, antara muka baharu akan dilantik exco termasuk Adun Kota Anggerik Najwan Halimi dan Adun Seri Setia Fahmi Ngah daripada PKR manakala Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (DAP).