
Beliau berkata sambutan Hari Sabah akan diadakan di Tambunan pada jam 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan di Kota Kinabalu pada sebelah pagi.
Menurutnya, Kabinet Negeri membuat keputusan itu pada mesyuaratnya minggu lalu dan telah memilih Tambunan sebagai tuan rumah untuk sambutan julung kali ini.
“Kabinet juga telah memutuskan bahawa sambutan untuk menandakan peristiwa bersejarah penting Sabah akan disambut setiap tahun dengan tempatnya akan digilirkan dalam kalangan daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Marilah kita menghormati dan memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah British di Sabah dan menandakan perjalanan kita untuk bersatu sebagai rakyat untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Sabah kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 Sept 1963.
Daerah Tambunan terletak di bahagian pedalaman Sabah, kira-kira 75km ke tenggara Kota Kinabalu.