
Dua suspek itu, masing-masing berusia 40 dan 52 tahun, ditahan dalam dua serbuan berbeza, iaitu di Puchong, Selangor, dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
Menurutnya, mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman dari 9 hingga 12 Ogos.
“Kita juga telah merampas beberapa barang kes melibatkan penjualan lambang seperti pelekat kereta dan Jata Negeri Pahang.
“Kita sedang melengkapkan siasatan dan jika (berlaku) kesalahan, kita akan membuat pertuduhan,” katanya kepada pemberita selepas sebuah majlis di Kuantan, lapor Sinar Harian.
Dilaporkan bulan lepas bahawa kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran Pahang itu dikesan selepas IPD Pekan menerima laporan.
Siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.