10 exco Selangor angkat sumpah

10 exco Selangor angkat sumpah

Komposisi kerajaan perpaduan PH-BN itu merangkumi DAP (empat), PKR (tiga), Amanah (dua), dan BN (satu).

Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama dengan exco Selangor selepas istiadat angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang. (Gambar Pakatan Harapan)
KLANG:
Seramai 10 exco Selangor mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang petang ini.

Daripada senarai itu, tiga exco dilantik semula adalah Ng Sze Han (Adun Kinrara), Izham Hashim (Adun Pandan Indah) dan Borhan Aman Shah (Adun Tanjong Sepat).

Adun Sekinchan Ng Suee Lim yang sebelum ini speaker DUN Selangor kini dilantik sebagai exco negeri.

Muka baharu dilantik menganggotai pentadbiran negeri adalah Fahmi Ngah (Seri Setia), Najwan Halimi (Kota Anggerik), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Papparaidu Veraman (Banting), Anfaal Saari (Taman Templer) dan Rizam Ismail (Sungai Air Tawar).

Komposisi kerajaan perpaduan PH-BN itu merangkumi DAP (empat); PKR (tiga); Amanah (dua), dan BN (satu).

Istiadat angkat sumpah itu melengkapkan pembentukan ahli mesyuarat kerajaan negeri diketuai Menteri Besar Amirudin Shari yang selesai mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan senarai portfolio bagi semua exco akan diumumkan pada Rabu ini selepas mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bercakap kepada media selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, Amirudin berkata, senarai portfolio berkenaan sudah “sedia” namun pihaknya mahu istiadat angkat sumpah jawatan exco petang ini selesai terlebih dahulu.

Gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan di Selangor selepas menang 34 daripada 56 DUN, namun gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga dinikmati selama dua penggal bermula 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.