Polis Singapura nafi ceroboh perairan negara

Polis Singapura nafi ceroboh perairan negara

Polis republik itu berkata pengawal pantai mengesan bot nelayan Malaysia memasuki perairan Singapura dalam insiden di Tuas Isnin lalu.

Polis Singapura berkata bot pengawal pantai menasihati bot nelayan sama yang masuk ke perairan Singapura, pada Oktober lalu.
PETALING JAYA:
Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan laporan berita mendakwa sebuah bot peronda memasuki perairan Malaysia dan merosakkan pukat dipasang nelayan dari bot milik rakyat tempatan.

Selasa lalu, empat nelayan Malaysia membuat laporan polis yang mendakwa bot peronda pengawal pantai SPF merosakkan pukat yang dipasang mereka di kawasan perairan Selat Tebrau, berhampiran Jambatan Link Kedua, sehari sebelum itu.

SPF dalam kenyataan mendakwa bot nelayan Malaysia itu dikesan berdekatan Tuas, di wilayah barat Singapura dan telah dinasihatkan untuk beredar.

“Bagaimanapun selepas itu, pukat nelayan tersangkut di pada kipas enjin bot kami ketika bot tersebut berundur untuk mengelak memasuki perairan Malaysia.

“Pukat itu telah rosak dalam proses membuka belitannya daripada kipas bot,” katanya.

Pihak berkuasa republik itu menjelaskan pihaknya hanya menguatkuasakan undang-undang Singapura dalam kawasan sempadannya.

SPF juga menyiasat sama ada kumpulan nelayan itu turut terbabit dalam kes pencerobohan perairan Singapura pada Oktober tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.