
Presiden PDP, Tiong King Sing berkata kedua-dua parti sedang menyelesaikan beberapa perkara dan isu berhubung penggabungan itu, yang diharap mampu menambah baik perkhidmatan mereka untuk seluruh Sarawak.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Abang Johari Openg kerana memberi peluang dan sokongan kepada kedua-dua parti itu duduk bersama mencari jalan serta peluang untuk bekerjasama.
“Saya menyasarkan bulan Disember nanti, kedua-dua parti dapat bergabung,” kata Ahli Parlimen Bintulu itu dalam Makan Malam Perpaduan di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Presiden PSB, Wong Soon Koh serta pimpinan kedua-dua parti itu.
Tiong yang juga menteri pelancongan, seni dan budaya berharap penggabungan itu akan diterima baik semua pihak dan tidak melihatnya sebagai perkara negatif.
Pada 13 Julai lalu, PSB yang memenangi tiga kerusi dalam PRN Sarawak pada 2021, mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Abang Johari.
PSB turut menandatangani memorandum persefahaman dengan PDP, yang juga parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sementara itu, Wong berkata, sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi kedua-dua parti akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi perkara berkaitan penggabungan itu, termasuk aspek perlembagaan parti.
Katanya, penggabungan dua parti itu akan meletakkan Tiong sebagai presiden, manakala jawatannya akan ditetapkan kemudian.