
Beliau mengingatkan perkara itu kepada Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim dari Pakatan Harapan (PH) dan Adun Galas Syahbudin Hashim dari Barisan Nasional (BN) jika mahu terlibat dalam politik.
“Kita kalau hendak terlibat dalam politik jangan mudah koyak,” katanya menurut Sinar pada sidang media selepas sebuah program di Kota Bharu, Kelantan.
Nassuruddin mengulas tuntutan Hafidzah dan Syahbudin supaya beliau memohon maaf atas kenyataannya dalam kuliah Jumaat baru-baru ini yang didakwa melabel mereka ‘melawan perjuangan Islam’.
Dalam sedutan ceramah Nassuruddin, beliau berkata: “Terima kasih banyak kepada rakyat Kelate (Kelantan). Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah. Orang muda bersemangat, orang tua hok sokmo (sepanjang masa) sokong perjuangan Islam.
“Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu.”
Mereka memberi masa tujuh hari kepada Nassuruddin untuk memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang.
Mengulas desakan itu, Nasuruddin berkata beliau mahu melihat terlebih dahulu surat tuntutan berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Setakat ini, saya belum terima,” katanya.