
Beliau berkata, perkhidmatan internet itu sesuai sebagai penyelesaian sementara kerana ia bersifat “plug and play”, mempunyai kelajuan internet yang tinggi, selain harga yang berpatutan.
“Di Malaysia, kita ada empat penyedia perkhidmatan internet melalui satelit termasuk Starlink. Ini bukanlah keputusan komersial. Manfaat teknologi ini sesuai untuk tujuan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Wangsa Maju Kita Punya sempena sambutan Hari Kebangsaan di Taman Tasik Danau Kota di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai teknologi internet satelit, Fahmi berkata, kerajaan turut dalam perbincangan untuk meluaskan penggunaannya di sekolah dan klinik kesihatan di Sabah dan Sarawak.
“Saya sedang berurusan dengan Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa), Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Zahid Hamidi) berhubung perkara itu,” katanya.
Pada 15 Julai lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti Starlink di institusi pengajian tinggi untuk menaik taraf kemudahan capaian internet supaya lebih meluas dan pantas, susulan perjumpaan secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Starlink Elon Musk.