
Santiago, yang menganggotai Majlis Perundingan Masyarakat India Selangor (SICC) berkata, “kesilapan” itu termasuk keputusan DAP yang tidak tepat pada masanya untuk menggugurkan P Ramasamy daripada senarai calonnya untuk PRN Pulau Pinang.

Beliau juga berkata cemuhan oleh Najwan Halimi daripada PKR terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calonnya untuk kerusi DUN Meru, Sivaranjani Manickam, tidak diterima baik oleh masyarakat India.
Tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap soalan seorang pelajar India mengenai sistem kuota dalam pendidikan juga didapati merendahkan-rendahkan mereka, kata Santiago.
“Ia mencetuskan kemarahan masyarakat India.
“Kita cuba mengurangkan kerosakan yang berlaku melalui pelbagai cara, termasuk TikTok,” katanya kepada FMT, merujuk kepada usaha bersama SICC dan pelbagai NGO untuk mendekati pengundi India.
“Kita cuba bertindak balas, termasuk dengan memberitahu mereka apa yang kerajaan persekutuan dan Selangor lakukan untuk pendidikan, tetapi ia tidak begitu berkesan. Tahap kemarahan sangat tinggi,” kata Santiago.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu mengulas peratusan keluar mengundi India yang rendah semasa PRN 12 Ogos lalu, yang disifatkannya sebagai salah satu “paling buruk”.
Santiago berkata, kajian oleh penganalisis Bridget Welsh, yang disiarkan oleh Malaysiakini, mendedahkan undi India menurun sebanyak 21%, 19% dan 12% untuk PH masing-masing di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
Sebaliknya, undi kaum India untuk Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing meningkat sebanyak 29%, 19% dan 14%.
Secara umumnya terdapat penurunan 15% dalam undi India, katanya.
Santiago seterusnya menegaskan selain PH meletakkan calon yang tidak dikenali, mereka juga masih merasakan kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk masyarakat India.
“Kebanyakan merasakan tiada apa yang akan berubah jadi mengapa perlu bersusah-payah mengundi? Terdapat juga beberapa kumpulan menyeru kaum India memboikot pilihan raya kerana perasaan putus asa yang dirasai.”
Santiago turut mendedahkan di Selangor, masyarakat India yang kurang berkemampuan tidak mengetahui inisiatif, termasuk bantuan tunai dan polisi insurans untuk isi rumah berpendapatan rendah.
“Ramai telah putus harapan bahawa kerajaan akan membantu mereka. Apabila kami membuat rayuan agar mereka memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan, jawapan mereka adalah, “Mengapa saya perlu membantu anda?”
Santiago juga mendapati ia “mengejutkan” apabila sesetengah masyarakat India menyokong PN, dengan mengatakan beliau menjangkakan pengundi yang tidak berpuas hati tidak akan membuang undi.
“Saya tidak dapat menjelaskan perkara ini. Tetapi saya fikir mereka mahu menunjukkan betapa kecewanya mereka dan berusaha lebih keras untuk menyatakan perkara itu,” katanya.
Bagaimanapun, Santiago percaya SICC berjaya mengurangkan kesan berpunca daripada pengundi yang tidak ambil peduli dan tidak berpuas hati.
Beliau juga percaya jika mereka mendekati pengundi India lebih awal, ia boleh membawa perubahan, terutama dengan lebih banyak sokongan daripada parti politik dan NGO.