
Menurut laporan Malaysiakini, serbuan pada jam 4 petang itu, empat pegawai KDN merampas buku bertajuk “Marx Sang Pendidik Revolusioner” tulisan Robin Small dan “Koleksi Puisi Masturbasi” tulisan Benz Ali.
Benz Ali atau nama sebenarnya Amir Hamzah Akal berkata beliau kecewa dengan tindakan pegawai berkenaan kerana buku yang dirampas tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual.
“Saya menjual buku-buku yang tidak termasuk dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual.
“Sepatutnya, kalau kamu (KDN) rasa curiga, kamu datang kamu belilah buku itu dan buatlah siasatan sampai kamu puas. Ini buku-buku tidak tersenarai dalam larangan. Tak boleh datang rampas macam ini,” katanya lapor Malaysiakini.
Katanya, pegawai KDN merampas masing-masing satu naskah dalam dua tajuk buku itu.
“Sebab (rampasan) yang diberikan adalah dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.
FMT cuba menghubungi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk mendapatkan komen.